Tuesday, February 13, 2007

Linda Onn vs Fara Fauzana - Bukan Gaduh


Fara Fauzana, Linda Onn nafi berlaku kekeruhan hubungan antara mereka berdua

SEBAIK saja pemenang Penyampai Radio Wanita Popular, Linda Onn, membuka mulut memberikan ucapan ringkas atas kemenangannya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 di Genting Highlands, baru-baru ini, banyak mata peminat dan pemerhati dunia seni hiburan tanah air terbeliak seketika.

Ungkapan yang antara lain berbunyi “ingatkan yang seorang lagi (akan menang)” dilihat sesetengah pihak sebagai tidak seharusnya dituturkan pemenang trofi kategori berkenaan sebanyak enam kali itu. Lalu, banyak juga komen diterima peminat berhubung ucapan ringkas penyampai Era itu, kononnya ia membayangkan wujud ‘perang dingin’ antara kedua-dua wanita terkenal ini.

Begitupun, Linda yang ditemui selepas menerima trofi berkata, dia bukannya merujuk ungkapan itu kepada pesaingnya dari Hot FM, Fara Fauzana. Sebaliknya, dia menuturkannya secara umum. Jelasnya, jika dia menyebut nama seorang calon, bimbang pula tiga lagi calon lain terasa.

Untuk mengetahui hakikat benarkah wujud perang dingin antara dua penyampai terkenal ini, Hip menemui Fara, baru-baru ini, di lokasi sitkom terbaru lakonan penyampai dan pengacara ini di Damansara Perdana.

“Sewaktu Linda menyampaikan ucapannya, kami empat calon akhir yang lain sebenarnya tidaklah memberikan reaksi apa-apa. Malah, tidak ada pun kalangan kami yang mengatakan “ha, engkaulah yang dimaksudkan itu”. Tetapi, kami perasan juga yang Linda agak menggelabah pada penghujung ucapan.

“Hanya selepas tamat acara, barulah beberapa rakan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), menyatakan tidak puas hati mereka apabila Linda mengucapkan ayat sedemikian. Hakikatnya, saya langsung tidak terasa dengan apa yang diucapkannya. Saya memang tidak perasan langsung ucapan berkenaan. Bagi saya, ia tidak membawa apa-apa makna kurang baik.

“Namun, memang banyak pihak yang memberikan reaksi kepada perkara itu, sedangkan saya tidak perasan pun. Wujud juga perdebatan di laman web, berhubung hal sama. Mungkin Linda tidak menyebutkan nama orang yang dimaksudkan itu kerana dia mengerti konflik yang ada sekiranya dia melakukannya. Maksud saya, contohnya jika nama saya disebut pada malam itu sedangkan dia adalah penyampai Era, dan Era pula radio rasmi anugerah, maka tidak sesuailah. Jika saya berada di tempat dia pun, mungkin saya juga tidak akan menyebut nama penyampai radio lain kerana wujudnya ‘conflict of interest’.

“Peminat pula, janganlah cepat membuat andaian yang bukan-bukan. Bahkan, antara saya dan Linda, tiada sebarang masalah. Hubungan kami memang baik dan jika peminat ingin tahu, saya adalah pelanggan tetap restoran nasi ayam miliknya. Saya pula penggemar nasi ayam, jadi walau sesibuk mana pun, saya sentiasa singgah di restorannya di Ampang atau Bukit Bintang. Jika tidak dapat duduk dan makan di situ, saya akan beli bungkus,” tegas Fara.

Malah, kata penyampai yang muncul saban pagi bersama Faizal Ismail menerusi slot Hot FM AM Krew ini, kalangan penyampai wanita dan lelaki dua radio terbabit pada dasarnya bersahabat baik dan saling menyokong karier masing-masing. Apatah lagi, Hot FM baru saja setahun jagung dalam arena siaran radio, sedangkan Era sudah pun sedekad menghiburkan peminat di seluruh negara.

Selepas dikenali sebagai penyampai radio dan pengacara televisyen (Fara adalah pemenang kategori Pengacara TV Wanita Popular ABPBH ‘06), wanita berusia 27 tahun ini disambar pula Ace Motion Pictures Sdn Bhd untuk membintangi sitkom berjudul Fara, yang akan menemui penonton TV3, jam 10 malam, setiap Selasa, mulai malam ini.

Ia mengisahkan seorang gadis bernama Fara yang bertugas sebagai penyampai di sebuah stesen radio Panas.FM yang baru ditubuhkan. Rutin hariannya adalah memberikan maklumat kepada pendengar dan memainkan lagu kegemaran mereka. Walaupun dia seorang selebriti, Fara tetap menjalani kehidupan sebagai orang biasa.

“Fara sebenarnya sudah berlakon sejak usia enam tahun lagi. Begitupun, lakonan bukanlah karier utama Fara. Kini, tumpuan banyak diberikan kepada penyampaian radio dan pengacaraan televisyen. Namun, jika ada tawaran watak sesuai, serta kena waktunya, saya akan pertimbangkan.

“Walaupun Hot FM memberikan kebebasan untuk kakitangannya melakukan aktiviti lain, namun keutamaan haruslah tetap diberikan kepada stesen radio ini. Maknanya, jika saya dikehendaki menghadiri sesuatu majlis anjuran Hot FM, maka ketika itu, saya akan mengetepikan lokasi. Alhamdulillah, pihak penerbitan sitkom Fara pun memahami tuntutan kerja kami.

“Saya menerima tawaran Abang Aziz (M Osman) ini pun kerana watak yang diberikan adalah sebagai penyampai radio. Maka, selain daripada kesamaan yang wujud antara saya dan watak Fara, secara tidak langsung sitkom ini akan mempromosikan Hot juga. Dia mahu Fara menjadi diri sendiri menerusi sitkom ini. Namun, jangan salah sangka pula, kerana saya bukanlah seorang yang feminist, emosional dan tidak sukakan bos lelaki, seperti yang ditonjolkan menerusi siri ini.

“Setakat ini, saya sudah menyiapkan kira-kira lapan episod, daripada 13 episod keseluruhannya. Saya juga mengambil cuti seminggu untuk menyiapkan seberapa banyak mungkin penggambaran. Maklumlah, jadual saya agak padat. Hot pula, takkan hendak membiarkan saya cuti selalu. Jadi, saya gunakan kesempatan yang ada ini untuk melangsaikan penggambaran seperti yang dijadualkan.

“Sudah tentu saya amat gembira apabila sitkom ini menggunakan nama Fara sebagai judulnya. Memang seronok! Tetapi, saya bimbang juga, nanti peminat menyangka itulah Fara yang sebenar, sebab watak saya dalam siri itu ada ketikanya suka menggatal. Apa-apa pun, sitkom ini tetap memberikan kepuasan buat saya,” ujar anak gadis berasal dari Shah Alam ini.

No comments: