
Ulang tahun itu disambut pada 6 Februari lalu manakala konsert bakal berlangsung pada 24 Februari ini di Dataran Shah Alam.
Sepanjang setahun ke udara, Hot FM menunjukkan jumlah pendengar semakin meningkat. Dengan sambutan dan pencapaian amat memberangsangkan dalam waktu singkat, Hot FM berasakan hanya dengan cara itu saja dapat mereka membalas kesetiaan pendengarnya.
Konsert lapan jam tanpa henti itu akan diserikan dengan persembahan daripada lebih 30 artis popular dan baru tempatan. Antaranya Mawi, Misha Omar, Fabulous Cats, Estranged, Ella, Jaclyn Victor, Faizal, Suki, Alif OIAM, Dina, Pretty Ugly, Sixth Sense, Zahid, Ruffedge, Wings, Gerhana Ska Cinta, Sofaz, Ahli Fiqir, Farah, Adam, Pop Shuvit, Nieyl, Fiq, Urban Method, Gerhana Ska Cinta, VE, Nitrus, OAG, Dia Fadillah dan tidak ketinggalan kumpulan popular dari Indonesia, Sheila On 7.
Mengenai pemilihan artis yang bakal membuat persembahan pada konsert berkenaan, Pengurus Besar Hot FM, Seelan Paul berkata, Hot FM tidak hanya mengetengahkan nama dan kumpulan yang sudah sedia popular. Malahan, mereka turut memberi peluang kepada artis yang sedang menapak naik untuk buat persembahan.
“Konsert Hot FM Big Jam umpama festival muzik di luar negara contohnya Big Day Out di Australia. Konsert akan bermula pada jam 4 petang hingga 12 tengah malam. Bagaimanapun, dari jam 12 tengah hari kita sudah ada gerai turut terdapat di sana adalah gerai Hot FM dan TM Lets Talk yang menjadi penaja kami,” katanya yang mensasarkan antara 8,000 hingga 10,000 pengunjung.
Selain menyaksikan konsert percuma, pendengar setia Hot FM juga berpeluang beramah mesra bersama artis pujaan mereka di belakang pentas kerana Hot FM menawarkan sepasang pas belakang pentas bermula 19 hingga 23 Februari menerusi Hot FM AM Krew bersama Faizal Ismail dan Fara Fauzana bermula jam 6 hingga 10 pagi.
Walaupun kini Hot FM mencatat peningkatan yang begitu cepat, Seelan berkata , dia tidak lekas berpuas hati dengan pencapaian mereka.
“Bila kita puas hati, kita akan gagal dalam perjuangan. Perjalanan kami selama setahun agak menyeronokkan tetapi tidak lari daripada emosi. Kami bermula dengan sebuah bilik yang kecil dan kini semakin berkembang.
“Cabaran pertama mewujudkan stesen radio ini adalah untuk membuatkan pendengar mendengar kita. Kita ada banyak stesen radio di Malaysia, bukan mudah untuk mendapatkan pendengar. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana pendengar banyak menyokong,” katanya.
Mengulas mengenai kekerapan Hot FM memutarkan lagu dari Indonesia, Seelan berkata perniagaan mereka adalah pengguna dan pengguna mereka pula adalah pendengar. Justeru, Hot FM perlu memenuhi kehendak pendengar untuk menjadikan stesen radio mereka diterima.
Pendengar Hot FM yang berada di luar Lembah Klang tidak perlu khuatir kerana Hot FM Jam versi mini akan singgah di lokasi lain iaitu di Menara Alor Star, Kedah pada 17 Mac diikuti Danga Bay, Johor Bahru pada 21 April, Dataran Temerloh, Pahang pada 23 Jun dan Dataran Port Dickson, Negeri Sembila pada 28 Julai ini.
1 comment:
Good for people to know.
Post a Comment