
Namun, semuanya itu bakal terjawab apabila penonton bakal menyaksikan sendiri kebolehan Fara berlakon apabila dia muncul dalam sitkom terbaru, `Fara' yang akan menemui penonton TV3 setiap Selasa bermula jam 10 malam, menerusi TV3. Sitkom itu bermula malam ini.
Sitkom yang berkonsepkan drama komedi ringan sebanyak 13 episod ini diterbitkan Ace Motion Pictures Sdn. Bhd. Ia adalah sentuhan pengarah Aziz M Osman yang mengisahkan seorang gadis bernama Fara dan bertugas sebagai juruhebah sebuah stesen radio Panas.FM yang baru ditubuhkan.
Rutin hariannya ialah memberikan maklumat kepada pendengar dan memainkan lagu kegemaran mereka. Walaupun beliau seorang selebriti, Fara menjalani kehidupan sebagai seorang insan biasa. Walaupun dia kelihatan gembira dan sentiasa berdikari, Fara sebenarnya menghadapi masalah dalam menemui cinta sejati. Kebanyakan teman lelakinya berasa tertarik dengan sikap keterbukaannya, namun tidak kurang juga ada yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya. Satu-satunya kawan sejati yang boleh diharapkan hanyalah Jimmy, lelaki berjiwa lembut. Watak yang dibawa fara menimbulkan seribu keceriaan kepada orang di sekelilingnya.
Selain Fara sebagai pelakon utama yang memegang watak Fara, sitkom berkenaan turut dibintangi Pushpa Narayan yang memegang watak sebagai Mahendra, majikan Fara yang juga seorang sangat bertimbang rasa dan sentiasa ceria.
Watak Jimmy pula dilakonkan Jason Chong yang juga sahabat baik Fara. Jimmy juga adalah tempat untuk Fara mencurah rasa dan berkongsi masalah. Turut berlakon dalam sitkom ini adalah protégé dari program Mentor musim pertama, Yanie yang memegang watak Wanda, wartawan di stesen berkenaan. Wanda adalah seorang yang lurus bendul dan ‘blur'.
Danny X-Factor pula membawa watak Nordin, seorang lagi juruhebah yang tidak senang dengan kehadiran Fara ke stesen radio berkenaan. Nordin takut kehadiran Fara menggugat kegemilangannya di stesen berkenaan. Namun, sedikit demi sedikit Nordin mula menyukai Fara tetapi dia tidak mahu mengakuinya.
Dalam episod pengenalan siri ini, Fara mengumumkan dia mahu berhenti menjadi DJ radio di stesen Aneka.FM. Selepas berhenti, Fara menjadi DJ di pusat gedung pakaian, namun dia ditegur pengurus kerana kononnya cara penyampaiannya tidak mengikut selera pengunjung gedung itu.
Suatu ketika, seorang pelanggan, Mahendra, menyapa Fara. Dia memperkenalkan diri sebagai pengurus stesen radio Panas.FM yang baru ditubuhkan dan Mahendra mempelawa Fara menyertai stesennya. Fara kemudiannya diperkenalkan dengan warga kerja Panas.FM iaitu Jimmy, Wanda dan Nordin.
Fara selesa berinteraksi dengan mereka, namun Nordin tidak begitu senang dengan kehadiran Fara kerana merasa kedudukannya sebagai DJ kesayangan stesen digugat. Dia kemudian menelefon Jamil, bekas pengurus Fara untuk mengetahui rahsia Fara berhenti di Aneka.FM. Fara yang dikehendaki bergabung dengan Nordin dimalukan Nordin ketika ke udara buat pertama kali. Apakah tindakan Fara selanjutnya?
1 comment:
mana² peminat fara fauzana ni elokla follow citer ni..tgk fara fauzana puas².. hihih
Post a Comment